Aeril & Wawa kerja keras, bisnes akan diwarisi anak2 – “Hayla bakal CEO”

 


Aktor dan usahawan popular, Aeril Zafrel serta isterinya Wawa Zainal mengakui perniagaan diusahakan selama ini adalah untuk diwarisi empat cahaya mata mereka.

Menurut laporan Utusan Online, aktor berusia 34 tahun itu berkata, dia dan isteri yang juga seorang aktres sudah merancang perkara tersebut demi memastikan masa depan anak mereka terjamin.

“Kami selalu memberitahu anak kedua, Hayla, dia bakal Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) suatu hari nanti. Memang apa yang kami usahakan sekarang ini demi untuk masa depan mereka.
“Kami sedang berusaha mencari dan memasang strategi untuk kekalkan perniagaan dalam jangka masa panjang. Seperkara yang saya belajar, untuk naik senang, tetapi untuk kekalkan itu yang susah,” katanya.

Bercerita mengenai Hayla, Aeril mengakui anaknya itu mempunyai bakat lakonan yang diwarisi daripada dia dan isteri kerana mampu membawa watak dengan baik sekali.

“Kami galakkan Hayla masuk industri hiburan kerana dia ada bakat. Bukan senang untuk kanak-kanak pada usia sepertinya mengingati skrip, melakonkan watak sedih dan tidak malu bila berada di hadapan kamera.
“Saya sudah 16 tahun dalam industri. Sebagai anak seni, saya dapat membezakan pelakon yang dikurniakan anugerah istimewa atau dipaksa-paksa beraksi di depan kamera.
“Saya dan Wawa tengok Hayla paling berbakat, selain anak ketiga kami, Soffya. Mereka kelihatan ‘natural’ di depan kamera. Tetapi, kami tanya juga minat dan apa yang ingin mereka buat,” ujarnya.

Bagaimanapun, pelakon drama Tercipta Satu Ikatan itu tetap mengutamakan didikan agama terhadap anak-anaknya tanpa mengambil kira soal minat mereka.

“Tidak kisah apa minat mereka kerana paling penting, kami tekankan didikan asas, termasuk aspek agama. Itu yang paling utama,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 2013 dan dikurniakan Ahmad Fakhruddin Attar, 8, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 6, Ayya Soffya, 2, dan Muhammad Fahri yang kini berusia setahun.

Sumber: Utusan Online (Siti Athirah Dzulkifly) , Instagram Aeril Zafrel & Wawa Zainal